Thursday 18 March 2010

Program Transformasi Kerajaan


Perdana Menteri Malaysia

Dari Dewan Rakyat Parlimen Malaysia

Penjelasan bagaimanakah pencapaian KPI ke atas pelbagai bidang keberhasilan utama negara sehingga kini dan bagaimanakah Program Transformasi Kerajaan akan diterjemah dan dilaksanakan bagi mencapai sasaran objektif Wawasan 2020.

Jawapan: Program Transformasi Kerajaan (PTK) atau Government Transformation Programme (GTP) dengan menggunakan Key Performances Indicators (KPI) dan kaedah makmal atau lab memang merupakan pendekatan dan enjin yang baru dalam merealisasikan komitmen kerajaan supaya ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ mengikut Gagasan 1Malaysia untuk mencapai wawasan negara untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang bersatu padu, aman dan maju. GTP merupakan kesinambungan dan tambahan kepada inisiatif-inisiatif lain terdahulu untuk meningkatkan kecekapan dan keutuhan kerajaan.

Enam bidang keberhasilan utama negara atau NKRA (National Key Results Area) telah dikenal pasti iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menambah baik pengangkutan awam, memerangi rasuah, mengurangkan jenayah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Mekanisme pelaksanaan yang baru ialah untuk menggunakan kaedah makmal secara intensif untuk menetapkan sasaran-sasaran mengikut KPI dan menggubal pelan penyampaian atau delivery plans bagi setiap NKRA dan NKRA-NKRA kecil atau sub NKRAs di bawahnya.
Selanjutnya, pelan-pelan penyampaian ini telah dipamerkan kepada rakyat jelata melalui hari terbuka yang diadakan di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.

Berdasarkan kepada maklum balas yang diterima melalui sesi-sesi perbincangan semasa hari terbuka, sebuah pelan hala tuju PTK atau GTP roadmap telah dihasilkan dan dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 28 Januari tahun ini. Sebenarnya, jentera kerajaan telah bergerak dengan giat mulai bulan Oktober yang lalu semasa makmal NKRA masih berlangsung untuk memulakan proses melaksanakan pelan-pelan penyampaian. Pelaksanaan setiap NKRA diterajui dengan rapi oleh Menteri peneraju atau NKRA lead Ministers bersama-sama dengan pegawai pegawai kanan dengan menggunakan bilik gerakan atau war room dengan melibatkan agensi-agensi lain yang berkaitan. Masalah-masalah yang dihadapi dan cadangan cadangan penyelesaian dilaporkan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Penyampaian atau Delivery Taskforce (DTF) bagi setiap NKRA yang dihadiri oleh para Menteri dan pegawai yang berkenaan.

Setiap bulan, Perdana Menteri sendiri menghadiri Mesyuarat DTF bagi setiap NKRA. Setakat ini, sejumlah 29 Mesyuarat DTF bagi keenam-enam NKRA telah diadakan. Mekanisme pelaksanaan dan pemantauan secara begitu kerap dan rapi mencerminkan keazaman dan komitmen Perdana Menteri dan pihak kerajaan untuk menjayakan pelaksanaan GTP ini secara lebih teliti, telus dan tekun.

Hasil daripada usaha gigih dan kerjasama yang rapat di antara semua Menteri, pegawai dan agensi yang berkenaan, beberapa kemajuan telah dicapai bagi setiap NKRA setakat ini. Sebagai contoh dalam NKRA untuk memerangi jenayah dalam 50 kawasan tumpuan utama hot spot, lebih ramai anggota polis telah dimobilisasi untuk memperbanyakkan lagi rondaan mengikut konsep more feet on street, dengan izin disokong oleh lebih 3,000 anggota RELA dan JPAM yang telah dilatih. Skim rondaan sukarela di bawah rukun tetangga akan juga dirangkumi. Banyak pondok dan khemah polis telah diwujudkan, banyak CCTV telah dipasang dan diselaraskan dengan yang sedia ada.

Tindakan terhadap kecurian kereta dan motosikal telah dipertingkatkan yang menghasilkan hampir 1,800 tangkapan setakat penghujung bulan Februari. Hasil daripada semua usaha ini, kadar jenayah jalan atau street crimes yang merangkumi ragut dan rompakan tanpa senjata telah menurun 7.6% bagi tempoh suku tahun keempat berbanding dengan suku tahun kedua tahun 2009.

Bagi NKRA prasarana asas luar bandar, antara pencapaian yang telah dihasilkan ialah pembinaan 257 kilometer jalan luar bandar dan pelaksanaan bekalan elektrik dan air bagi hampir 50,000 isi rumah di Sabah dan Sarawak.

Walaupun pelaksanaan NKRA pada amnya berjalan dengan baik, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat cabaran-cabaran yang telah ditemui dan perlu ditangani. Antaranya kapasiti pelaksanaan di peringkat tertentu perlu diperkasakan dengan penyeliaan yang lebih rapi dan penyelarasan yang lebih baik.

Masalah-masalah teknikal dan sosial seperti pengambilan tanah dan penempatan semula penghuni yang terlibat untuk projek-projek pembinaan jalan, perumahan dan sekolah serta bekalan air dan elektrik. Kekangan peruntukan kewangan yang sedia ada bagi beberapa agensi pelaksana perlu diatasi dengan belanjawan tambahan yang akan dibentangkan dalam Dewan ini.
Namun begitu, semua cabaran telah pun dijangka sewaktu perbincangan di peringkat makmal dan tindakan sewajarnya telah dan akan diambil bagi memastikan kelancaran pelaksanaan aktiviti-aktiviti NKRA seperti yang telah dirancang.

Pada amnya Tuan Yang di-Pertua, dibantu oleh kaedah dan pendekatan yang baru serta didorong oleh tumpuan dan sokongan penuh oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri. Komitmen dan semangat perjuangan di kalangan para Menteri dan pegawai untuk menjayakan GTP adalah amat tinggi. Dengan kerjasama rakyat, kami akan terus bertungkus-lumus supaya sasaran-sasaran GTP dicapai mengikut jadual untuk faedah rakyat jelata dan semua kumpulan sasaran.

No comments:

Post a Comment