Monday 21 January 2013

Soal akidah tidak harus dikompromi



Umat Islam tidak seharusnya berkompromi dalam soal akidah dengan tidak memberikan sokongan kepada mana-mana yang pihak cuba mempolitikkan isu tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan pemimpin parti tertentu yang menyokong tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melibatkan soal berkenaan, hanya menyakitkan hati umat Islam.
Beliau menegaskan, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memperkenalkan pendekatan wasatiyyah, tidak pernah mempolitikkan isu-isu sensitif membabitkan agama sebagaimana dilakukan pihak tertentu.
"Bila Guan Eng buat sesuatu, pergi sokong Guan Eng buat apa? Buat apa sokong? Buat sakit hati umat Islam? Ini bukan soal politik, tak boleh.

"Kita mahu orang bukan Islam jangan sakiti hati orang Islam dan kita orang Islam jangan sakiti orang bukan Islam, jadi negara kita aman, negara kita tenteram. Inilah dasar yang dibawa kerajaan di bawah pimpinan BN," katanya.

Beliau berucap merasmikan Program Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri, di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini yang dihadiri oleh kira-kira 50,000 orang.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Ucapan Najib itu jelas merujuk kepada tindakan pemimpin Pas yang sebelum ini menyokong kenyataan Guan Eng yang dilaporkan menggesa Kerajaan Persekutuan membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

Kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendapat bantahan pelbagai pihak, tetapi disokong majlis pimpinan pakatan pembangkang termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun, Pas dan pemimpinnya termasuk Nik Abdul Aziz kemudian menukar pendirian kepada tidak bersetuju, kerana kalimah Allah hanya merujuk kepada Tuhan yang Satu, dan tindakan menggunakannya bagi agama lain.

Sementara itu, dalam majlis berasingan di sebuah hotel di sini, kira-kira 300 guru pondok, imam muda dan ulama di negeri ini hadir memberi sokongan kepada Perdana Menteri ketika beliau mempengerusikan mesyuarat tertutup dengan pemimpin-pemimpin BN Kelantan.

Antara tokoh agama yang hadir ialah Pengasas Pondok Geting Tumpat, Abdullah Sa'amah; Ketua Pondok Pulau Ular Pengkalan Kubor, Mohamad Zainal Abidin dan imam muda, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff.
Perdana Menteri menyatakan rasa terharu atas sokongan yang diterima daripada para ulama di negeri ini dan percaya ia bukti bahawa BN berada di jalan yang benar.

"Saya amat terharu dengan sokongan ini. Hari ini tok guru, imam muda, ustazah muda, pemimpin-pemimpin agama, ulama dan pemimpin NGO hadir memberi sokongan kepada saya. Saya sedar, untuk memimpin negara, ia memerlukan gandingan antara pemimpin dan ulama.

"Ulama-ulama ini adalah yang tidak terlibat dalam politik justeru sokongan mereka adalah bukti kita berada di jalan yang lurus.

"Saya beranggapan mereka ini adalah pejuang kita yang mewakili rakyat justeru pada saya mereka akan berjuang membantu kita membawa perubahan di seluruh Kelantan," ujar beliau. utusan


No comments:

Post a Comment