Tuesday, 22 January 2013

PM Akan Perkenal 'Model Malaysia' Untuk Pembangunan Mesir



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang tiba di Kaherah untuk lawatan selama tiga hari, membawakan satu formula untuk pembangunan yang sering dirujuk oleh rakyat Mesir sebagai "Model Malaysia".
Lawatan ke Mesir itu akan memfokuskan hala tuju masa depan hubungan antara Malaysia dan Mesir, mekanisme kerjasama dan juga isu-isu substantif termasuk pelaburan, kerjasama perdagangan kewangan serta isu ekonomi dan pendidikan.
Najib akan mengadakan kunjungan hormat dengan Presiden Mesir, Mohamed Morsy pada Selasa di mana kedua-dua pemimpin dijangka menyaksikan perjanjian kerjasama ekonomi komprehensif (CECA) antara kedua-dua negara.
Duta Malaysia ke Mesir, Datuk Dr Mohd Fakhruddin Abdul Mukhti berkata, Malaysia begitu dikenali di kalangan rakyat Mesir sebagai sebuah model untuk perkembangan ekonomi.
"Kami juga dikenali kerana kita mempunyai ramai pelajar yang menuntut di Mesir dan malah sewaktu pilihan raya di sini, kami lihat sebahagian mereka dan parti mengadakan kempen dengan berjanji untuk membangunkan Mesir supaya ia menyamai Malaysia.
"Mereka menyatakan ia sebagai model Malaysia bagi pembangunan dan perkembangan ekonomi," kata Fakhruddin.
Pada masa ini, hampir 11,000 rakyat Malaysia di Mesir, kebanyakan mereka adalah pelajar.
Fakhruddin berkata, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah RM4 bilion setahun, kebanyakannya dalam sektor gas dan minyak kelapa sawit dengan Petronas sebagai pelabur asing utama di Mesir.
Najib akan ditemani isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Turut serta dalam delegasi Perdana Menteri adalah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Abdullah Md Zin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Najib turut akan bertemu dengan Perdana Menteri Mesir, Dr Hesham Qandil semasa berada di Kaherah dan akan berlepas ke Davos, Switzerland pada Rabu bagi menghadiri Forum Ekonomi Dunia. Mstar ..

No comments:

Post a Comment